Ali Bukhari Amir
Thu | Mar 13, 08 | 12:37:16 am MYT
Sekitar 1999 atau mungkin 2000, saya dan rakan-rakan mahasiswa pernah bertemu Dato’ Dr Siddiq Fadhil atas nama kunjungan dan ziarah. Kalau tidak salah saya, beliau pernah menjadi ahli Majlis Adat Istiadat Melayu Perak.Beliau kini adalah Presiden Wadah dan mantan Presiden Abim sekitar 80-an. Rumahnya di Sg Ramal, Kajang. Ziarah kami bertujuan bertukar-tukar pandangan tentang pengalaman lalu dalam gerakan Islam dan pandangan beliau berhubung politik negara serta isu semasa. Ada hal-hal menarik berhubung pandangannya yang ingin saya catatkan di sini.

Antaranya, yang terpenting adalah hal Ketuanan Melayu. Entah bagaimana beliau dengan tiba-tiba berminat bercakap hal tersebut. Tapi, tatkala teringatkan bahawa beliau memang ahli dan dalam hal berkenaan, saya cuma menadah telinga mendengar setiap isi butiran percakapannya.

Jika beliau terbaca coretan saya ini, harapan saya agar beliau dapat membetulkan apa-apa yang mungkin tersalah dan tersilap tentang fakta-fakta yang ditemukan dalam tulisan ini. Ini kerana, hal ini agak lama dan izinkan saya mengoyak cebisan ingatan lama dan tampal semula di coretan ini. Jadi, mana-mana yang masih berlubang di sana-sini haraplah dapat ditampung.

“Saya tidak percaya anak-anak muda masuk Umno di atas niat perjuangan agama, bangsa dan tanahair. Selepas Reformasi, saya percaya ada dua sebab saja mereka ini masuk Umno.

“Pertama, mereka mahukan duit dan projek. Keduanya, � (mereka) bodoh sangat!” kata beliau. Saya dan rakan-rakan cuma tertawa mendengar kata-katanya bersulam kemarahan itu, ditambah pula dengan telor loghat Jawanya.

Baginya, Umno bukanlah pihak yang memperjuangkan Ketuanan Melayu. Dan, beliau ada bukti kukuh berhubung hal itu. Isterinya, Dr Siti Zulaikha cuma mendengar saja perbualan kami, kurang bercakap. Mungkin tidak mahu mengganggu perbualan tersebut.

“Nak tahu buktinya?” soal beliau. Saya mengangguk penuh minat. “Tunggu sekejap, saya ambil tesis disertasi saya.” Dan, beliau pergi ke bilik bacaannya seketika.

Sikap kesungguhan beliau berhujah itu menyebabkan saya dapat mengagak inilah tingkah laku seorang ahli akademik; sentiasa berminat dan sanggup mengejar bahan bukti sokongan sebagai cara atau langkah guna menyempurnakan hujahnya.

Saya tidak fikir calon BN Parlimen Pokok Sena mempunyai sikap sedemikian. Agaknya, jika calon BN yang kalah itu dicabar untuk membentangkan semula rumusannya mengenai politik Kedah yang berpuak-puak, beliau sendiri pun tidak berani kerana tesis di UUM itu mungkin bukanlah hasil daripada penyelidikan dan penulisannya sendiri.

Saya rasa PMN, PKPIM, Gamis, SMM, Karisma, dan badan-badan pelajar yang lain dapat menyediakan tempat untuk beliau bersyarah di UUM atas tajuk itu dengan kehadiran NC UUM, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi. Ini perlu sebagai bukti; tesis itu hasil cetusan fikirannya sendiri.

Umno menolak Ketuanan Melayu?

Dr Siddiq kembali kepada kami dengan tesis tebalnya yang saya sudah lupa tajuknya. Penyelia beliau adalah Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang pada saat itu ialah pensyarah UKM. Kajian itu mungkin berkisarkan hal-ehwal Melayu. Mungkin hal politik Melayu dan kebudayaan Melayu.

Yang sempat saya ingat dan catit, menurut tesis itu bahawa hal Umno menolak Ketuanan Melayu memang tercatat di dalam Parliamentary Debates entah volum ke berapa, saya tidak ingat. Tapi, beberapa hal penting adalah sebagai penjelasan di bawah ini:-

Parti yang berusaha keras memajukan usul berhubung Ketuanan Melayu ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang menggesa agar usul itu diperjelaskan dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini perlu dibuat bagi menjelaskan negara ini milik Melayu.

Usul tersebut, kalau tidak salah ingatan saya telah dibawa oleh seorang ahli Parlimen PAS Hulu Terengganu, Haji Hassan Adli. Bagaimanapun, usul tersebut ditolak oleh Umno pada ketika itu dengan menggunakan kuasa majoriti 2/3 daripada suara ahli-ahli Parlimen.

“Jadi, bagaimana Umno boleh mendakwa mereka menegakkan Ketuanan Melayu?” soalnya.

Peristiwa dialog perbincangan antara kami dengan Dr Siddiq itu telah berlangsung dalam 8 ke 10 tahun lalu. Tetapi, ia masih tetap kekal relevan untuk didebatkan jika Hishammuddin Tun Hussein melihat dirinya sebagai wira Melayu dengan mengangkat keris Panca Warisan.

Tahun berikutnya ketika Hishammuddin tidak lagi mengangkat keris itu dalam ‘Muktamar’ Umno, Naib Presiden beliau, YB Khairy Jamaluddin pula bersuara dengan lagaknya: “Jangan risaukan kata orang. Keris sudah terhunus, bila lagi mahu menikam?”

Kedua-dua tokoh muda Umno itu sama saja perangainya. Buta perut dan tak belajar sirah perjuangan Melayu Islam dengan betul, cermat dan niat suci. Agak-agaknya, bagaimana mereka mahu menyanggah hujah yang dibentangkan di dalam tesis Dr Siddiq Fadhil itu? Jangan-jangan, mereka sendiri pun tidak tahu-menahu soal itu!

Bangsa lain akur Ketuanan Melayu secara tersirat

Dr Siddiq menambah, dalam hal Ketuanan Melayu ini, secara tersiratnya, bangsa lain pun sudah mengakui kewujudannya. Beliau menarik perhatian kami berasaskan perbualannya bersama seorang ahli politik DAP di Perak sebelum ini, mungkin di Kinta atau di Ipoh.

“Saya tak tahu apa pendirian kaum Cina dan ahli politik yang lain. Tetapi, yang ingin saya sampaikan di sini adalah pandangan beberapa orang pimpinan DAP di Perak sendiri.

“Mereka sendiri beritahu saya bahawa ini negeri Melayu. Walaupun mereka menang, tapi peluang untuk menjadi Menteri Besar itu mustahil. Semua ini kerana sultan akan memilih orang Melayu sebagai Menteri Besar pada akhirnya,” kata beliau.

Saya renung hal itu dalam-dalam. Di India sudah tiada kuasa maharaja seperti zaman dan era yang lalu ketika raja berkuasa dengan hebatnya. Di China, melalui Revolusi Budaya 1911 oleh Dr Sun Yat Sen, sistem beraja Dinasti Manchu telah digulingkan. Semua ini berlaku dengan sebab British menjajah kedua-dua negara itu.

Tapi, hal ini berbeza di Tanah Melayu. British melalui perlembagaan dan desakan orang-orang Melayu telah memutuskan kedudukan raja-raja Melayu sebagai penaung Islam di negeri-negeri. Menurut catatan sejarah, khasnya Sulalatus Salatin, raja-raja Melayu telah pun mula mendapat kedudukan seperti itu, iaitu sebagai penyelamat dan pelindung agama.

Merah Silu dan lain-lain raja Melayu dilaporkan telah bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w dan esoknya mereka menerima kehadiran mubaligh Islam. Serentak dengan itu, apabila rajanya telah menganut Islam, maka seisi negerinya memeluk ajaran Islam.

Tapi, peristiwa istimewa dan kejadian seumpama ini jarang disebut dalam lipatan sejarah bangsa-bangsa lain. Kedudukan raja-raja Melayu sebagai pelindung Islam tidaklah boleh disamakan dengan gambaran mengenai pembesar Melayu sebagai pembela Islam walaupun mereka menokok tambah Islam dengan lipstik kosmetik bermodalkan jenama hadhari.

Buktinya, Abdullah Ahmad Badawi sebagai pembesar Melayu tetap kecundang walaupun �kalimah toyyibah� Islam Hadhari tersebut bergema di mana-mana melalui tetuang udara dan tv. Rakyat secara jumhur telah menolak gagasan itu kerana zalimnya pembesar itu berserta angkatan-angkatannya.

Ringkasnya, berbanding pembesar, raja Melayu mempunyai kedudukan lebih jelas sebagai pelindung, penyelamat dan pembela Islam berasaskan susur galur sejarah yang diperjelaskan melalui Sulalatus Salatin.

Bahaya hijau, Hizbul Muslimin di Perak

Ketika mengenangkan kedudukan Dr Siddiq sebagai ahli Majlis Adat Istiadat Melayu Perak, saya teringat ucapan seorang pemimpin Perikatan yang lantang menyebutkan darihal ancaman ‘bahaya hijau’ dan ‘bahaya merah’ pada suatu masa dahulu.

“Bahaya merah itu komunis dan bahaya hijau itu datangnya daripada gunung. Gunung itu adalah Gunung Semanggol,” kata pemimpin itu lebih kurang yang terlintas di ingatan.

Hizbul Muslimin yang diharamkan British bermuara dari desiran tiupan angin perubahan di Ehya� as-Syarif Gunung Semanggol, Perak. Masyhurnya tempat ini sehinggakan namanya pernah disebut sekilas di dalam filem P Ramlee (Nasib Do Re Mi).

Perjuangan mantan Presiden PAS Dr Burhanuddin al-Hulaimy kebanyakannya bertumpu di negeri Perak. Inilah antara imbuhan saham kredit yang menunjukkan peranan PAS di Perak hadir sebagai pergerakan menentang penindasan penjajahan British di negeri itu.

Kini, PAS telah berjuang membebaskan rakyat daripada cengkaman penjajahan Umno-BN yang terkenal sebagai anak didik British sejak dulu, kini dan mungkin buat selama-lamanya. Melihat hal ini, tidak salah jika diberi ruang kepada PAS untuk mentadbir negeri berkenaan.

Kami akhirnya pulang daripada rumah Dr Siddiq setelah lewat malam, sedangkan beliau masih rancak bercerita darihal pengalaman lalu. Sambil mengucapkan terima kasih di atas penerangan dan perkongsian ilmu, beliau berkata:

“Apa lagi yang boleh kami sebagai orang tua mahu sumbangkan kepada anak-anak muda dalam jemaah kini? Ini saja yang ada,” kata beliau, sambil mengiringi kami keluar rumah.

Di luar rumah, sama keadaannya ketika kami tiba awal tadi. Iaitu ada kira-kira 6 hingga 7 ekor kucing sedang menunggu di luar pintu untuk masuk ke dalam rumahnya. Semua ini menarik perhatian.

Sempat juga dia berseloroh mengenai kucing-kucing itu. Gurauan yang penuh bermakna.

“Pintu ini terpaksa ditutup. Kalau tidak, kucing akan masuk. Kalau dibuang, rasa kasihan dan tidak adil pada perjuangan ini. Kita selalu sebut keadilan� keadilan�” ketika ini tangannya diangkat seperti gaya sedang berpidato. Lalu, dia menambah �

“Tapi, kucing kita sendiri pun tidak dapat dibela, diberikan keadilan kepadanya,” kata-kata itu membuat saya ketawa sendirian dan hal itu masih melekat di ingatan sehingga kini. Adakah kita sebagai khalifah dapat melaksanakan amanah selepas mandat diberikan rakyat?

Walhal, kalau tidak salah saya, Khalifah Umar al-Khattab r.a pernah berkata, “Kalau ada seekor keldai yang mati kelaparan, maka Umarlah yang akan bertanggungjawab.”

Semua inilah yang menjadi bahan renungan fikiran saya dan malah menjadi igauan mimpi ngeri tatkala mengenangkan Barisan Rakyat telah diberi mandat oleh rakyat kini.

Sekolah Pemikiran Pendang,
11:53 p.m, 12 Mac 2008.

( Sumber Harakahdaily 15/03/08 )

Advertisements

12th March 2008

Dato’ Seri,

Let me take this opportunity to thank you and the party’s leadership for the faith in me and the chance to contest in Jerlun as a Barisan Nasional candidate. With the blessing and hard work of the party’s leadership and machinery as well as the people of Jerlun, I have won the elections and am now a new Member of Parliament.

However, sadly enough, my victory is rendered meaningless in view of the defeat that Umno and the Kedah BN suffered in the hands of the opposition. Apart form Kedah, four other states as well as the Federal Territories also received similar humiliation in defeat.

In fact your own state of Penang was wrested by the DAP from the BN. Kelantan is again under Pas rules. In other states, the BN also suffered a similar humiliation when the level of BN support by the people has tremendously reduced. This, Datuk Seri, has never happened in the history of BN rule.

The sole intention of my letter to you is meant to save Umno and BN from being rejected further by the people and from being no longer relevant to our religion, race and nation.

Dato’ Seri, the people are unhappy and the message from them is very clear, and that is they have rejected you as the nation’s chief executive.

Contrary to your claim that you still have the support of Umno and other component parties, the reality is that even our own party members had reneged in their voting pattern by supporting the Opposition and inflicting the BN its defeat.

Dato’ Seri, when the people held street demonstrations you openly dared them to resort to the ballot boxes to demonstrate.

They took your challenge by coming out, especially tho people in the Peninsular, and they demonstrated their feelings by voting us out at the BN at State and Parliament levels.

It is therefore clear that your leadership and your handling of the issues faced by the people and the nation are no longer accepted. Let’s not deny the truth just for the sake of keeping your seat as Prime Minister.

For the love of this country and the people, I beg that you take responsibility for the defeat. We can save Umno, the BN and the nation only if you relinquish your positions as Prime Minister and the President of Umno.

Dato’ Seri, I hope you will understand that I make this plea with the intention of salvaging a very dire situation. A move has been made to woo the BN representatives to join the Opposition. The enemy needs just 35 seats more to topple the government of your leadership.

If you do not resign in the near future, I fear that the situation will become untenable and that the Malay support for Umno and BN will be a thing of the past.

This plea I make without malice, and I am aware that your reaction and that of other Umno members could very well be hostile.

But come what may, I am prepared, for the sake of the Malays and Umno, to face the consequences of my action. With all humility, I leave my fate to Allah SWT.

Dato’ Seri, I am sure that you will do the right thing for the sake of the people and the nation. May Allah SWT bless you for the sacrifice you make by stepping down.

Wasallam

Yours Sincerely

Mukhriz Mahathir
Jerlun Member Parlament

Posted on Saturday, March 15 @ 12:03:10 EST by reformis
 

Maka istilah Barisan Rakyat sesuai digunakan semula. Ia perlu dijadikan istilah umum  bagi usaha barisan pembangkang menjadi kerajaan alternatif kepada BN. Barisan Rakyat mempunyai nilai-nilai yang berbeza daripada BN. Ia berorientasi rakyat dari segi perjuangan iklas untuk membezakannya dengan kerakusan kuasa elit yang selama ini diamalkan oleh BN.

Oleh Maulana Purnama

Ketika pemimpin-pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Rakyat (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) bertelagah dalam merebut jawatan menteri besar, timbalan menteri besar dan ahli exco kerajaan negeri, maka para ahli, aktivis, penyokong dan pengundi ketiga-tiga parti itu wajar tidak menghiraukan telatah buruk mereka itu.

Sebaliknya ahli, aktivis, penyokong dan pengundi ketiga-tiga parti itu mesti merapatkan barisan dan mengukuhkan Barisan rakyat demi mempertahankan kemenangan yang mereka capai pada 8 Mac lalu.

Perkara pertama ialah parti. Parti hanyalah alat tetapi ia amat penting dalam kerja berorganisasi.. Apabila disebut urutan nama parti itu, wajar disebut dengan rangkaian ini, iaitu PAS, DAP dan KeADILan. Dan bukannya DAP, PAS dan KeADILan atau KeADILan, DAP dan PAS.

Memang perkara ini tidak penting tetapi untuk keselarasan dan keselesaan berbicara, wajar dari carikan diseragamkan sebutan. Sebutlah PAS dahulu barulah DAP dan KeADILan. Bukannya PAS itu saja penting. Semua parti adalah penting dan setaraf dalam perjuangan ini. Memanglah bagi penyokong PAS, parti itu adalah lebih penting. Tetapi lain-lain ahli parti beranggapan yang serupa terhadap parti mereka.

Bolehlah masing-masing mendahului parti mereka. Umpamanya ahli PAS akan menyebut PAS dahulu baru diikuti dengan  KeADILan dan DAP. DAP diletakkan akhir kerana ia tidak dipimpin oleh orang Islam. Begitu juga dengan ahli DAP. Mereka boleh mendahului DAP, baru diikuti dengan KeADILan kerana PAS dianggap seteru ideologi mereka.

Sementara bagi ahli KeADILan, mereka mendahului KeADILan diikiuti dengan PAS dan kemudian DAP. Ini kerana KeADILan dan PAS adalah anggota Barisan Alternatif (BA) tetapi tidak DAP. DAP keluar daripada BA pada tahun 2003. Sungguhpun hakikatnya penyokong ketiga-tiga  parti tidak peduli dengan BA atau apa. Yang mereka tahu barisan pembangkang hanyalah satu.


Di peringkat kerajaan, kerjasama secara rasmi hanyalah BA. Justeru kerajaan BA terbentuk di Kelantan dan Kedah saja. Ini kerana PAS-KeADILan  mewujudkan BA. Di Kedah pada mulanya PAS mahu meletakkan wakil DAPnya sebagai exco tetapi dibatalkan kerana DAP di Pulau Pinang enggan meletakkan wakil PAS dalam exconya.

Alasan DAP. Kerajaan Pulau Pinang bukannya kerajaan BA. Ia hanya kerajaan DAP-KeADILan.


Kebingungan pemimpin ini terlihat di Selangor dan Perak. Di kedua-dua negeri itu, ia bukannya kerajaan BA. Ini kerana ia adalah kerajaan campuran BA dan DAP. Tetyapi kerajaan BA-DAP tidak sedap didengar.

Letaknya huruf I di antara B dan A, kemudiannya disambung dengan DAP, maka jadilah Biadap. Itulah istilah yang digunakan oleh Utusan Malaysia terhadap DAP apabila penasihatnya, Lim Kit Siang menghalang ahli dewan undangan negeri (ADUN) PAS Perak menghadiri majlis angkat sumpah apabila istana memilih wakil PAS sebagai Menteri Besar.

Padan muka kepada pembangkang apabila majlis itu ditangguh. Memalukan dan memilukan hati para penyokong.


Di mana penasihat-penasihat parti, Kit Siang dan Anwar Ibrahim? Bukannya hendak menyelesaikan masalah tetapi menambah masalah.

Sementara penasihat PAS, atau jawatannya Mursyidul Am, yang bermakna penunjuk umum, Nik Abdul Aziz Nik Mat membiarkan saja pergolakan itu berlaku.


Kerajaan Perak dan Selangor ialah kerajaan tiga parti pembangkang itu: PAS, KeADILan dan DAP. Untuk lebih tepat lagi kerajaan Perak perlu disebut sebagai kerajaan DAP-KeADILan-PAS kerana DAP menguasai kerusi terbanyak walaupun menteri besarnya datang dari PAS.

Sementara kerajaan Selangor ialah kerajaan KeADILan-DAP-PAS  kerana KeADILAN mempunyai ADUN paling ramai.


Tetapi sebenarnya itu semua mengarut. Hakikatnya yang menyokong mereka bukan saja penyokong tiga-tiga parti secara keseluruhan tetapi juga dua parti kecil yang menggunakan lambang KeADILan iaitu Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Demokratik Malaysia (MDP).

Walaupun PSM dan MDP adalah parti kecil, tetapi ia memiliki penyokongnya yang turut memberi sumbangan kepada kemenangan pembangkang keseluruhannya. PSM menang di dua tempat iaitu kawasan Parlimen Sungai Siput, Perak dan kawasan negeri Kota Damansara, Selangor.

Justeru ia turut menyumbang kepada kemenangan pembangkang di Selangor dan Perak. Walaupun ia tidak berdaftar, tetapi ia telah lama berfungsi. Maknanya, pada hakikatnya ia adalah parti politik. Ia merupakan parti politik de facto, seperti mana Anwar adaah pemimpin de facto PKR.

Maka seharusnya apabila disebut nama-nama parti pembangkang urutannya adalah demikian, PAS, KeADILan, DAP, PSM dan MDP. Bukanlah ia bermakna PAS lebih besar dan bulat daripada parti-parti lain, Tetapi untuk mengelak percekcokan dari kalangan parti, maka urutan itu harus mengikut siapa lebih tua.

PAS yang ditubuhkan pada tahun 1955 wajar berada di depan diikuti dengan KeADILan (Parti Rakyat Malaya ditubuhkan pada tahun 1955 dan Parti Keadilan Nasional pada tahun 1999 dengan percantuman berlaku pada 2006), diikuti DAP (ditubuhkan pada tahun 1965), diikuti PSM (1998) dan MDP (1999).

Tetapi barisan pembangkang ini memerlukan satu nama. Paling baik nama itu ialah Barisan Rakyat. Ia membezakan daripada istilah BA yang hanya merujuk kepada KeADILan-PAS.

Dalam poster yang diedarkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) pro-pembangkang, Barisan Rakyat diletakkan sebagai merangkumi PAS, KeADILan, DAP, PSM, MDP dan Pasok. MDP tidak diletakkan lambang. Pasok adalah sebuah parti Sabah . Tetapi poster itu mengelirukan.


Biarlah masa ini apabila disebut Barisan Rakyat, ia merujuk kepada lima parti di semenanjung iaitu PAS, KeADILan, DAP, PSM dan MDP.

Usaha dibuat untuk mencari parti pembangkang di Sarawak dan Sabah supaya boleh diletakkan dalam Barisan Rakyat. Syarat utama parti pembangkang Sarawak dan Sabah itu ialah kesediaan dan komitmen mereka menolak Barisan Nasional (BN).

Ini kerana terdapat parti pembangkang di Sabah dan Sarawak hanya bersedia untuk menjadi pembangkang di peringkat negeri dan tidak di pusat.


Istilah Barisan Rakyat mempunyai sejarah tersendiri. Pertama kali muncul ialah menjelang pilihan raya tahun 1978. Pada masa itu BN amat kuat dengan PAS juga menjadi antara parti utama dalam BN.

Melihat kejayaan BN, maka dicadangkan supaya satu barisan alternatif ditubuhkan bagi menandingi parti kerajaan itu. Secara utamanya, ia merupakan kerjasama antara DAP dan PRM yang pada masa itu dikenali sebagai Parti Sosialis Rakyat Malaysa (PSRM) 

Tetapi parti pembangkang lain juga turut serta. Pada masa itu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) juga berpecah ekoran hadirnya dalam BN. Pengasasnya Allahyarham Syed Hussein Al-Attas telah pun keluar. Begitu juga dengan Mendiang Tan Chee Khoon, seorang tokoh Gerakan. Beliau menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas).


Pada waktu yang sama, PSRM juga  berpecah. Pengasasanya Allahyarham Ahmad Boestamam enggan menerima kepimpinan Kassim Ahmad dan perkataan sosialis yang dimasukkan ke dalam nama parti PRM itu. Beliau dan penyokongnya menubuhkan Parti Marhaen yang dianggap sebagai pewaris PRM.

Bagaimanapun kemudian Parti Marhaen dibubarkan dan Ahmad Boestamam menyertai Pekemas untuk memperkuatkan elemen Melayu di dalamnya.

Maka istilah Barisan Rakyat sesuai digunakan semula. Ia perlu dijadikan istilah umum  bagi usaha barisan pembangkang menjadi kerajaan alternatif kepada BN. Barisan Rakyat mempunyai nilai-nilai yang berbeza daripada BN. Ia berorientasi rakyat dari segi perjuangan iklas untuk membezakannya dengan kerakusan kuasa elit yang selama ini diamalkan oleh BN.

Maka sepanjang sejarah Malaysia, Barisan Rakyat juga merujuk kepada kemenangan pembangkang dalam pilihan raya tahun 1990, 1999, 2008 dan pada masa-masa akan datang.

( Sumber Detikdaily 15/03/08 )

Suhaimi Taib
Fri | Mar 14, 08 | 11:05:07 am MYT
Sehari dua ini saya melepak di depan lap top untuk mengikuti perkembangan politik seluruh negara melalui maklumat terkini dari laman web dan blog politik sebagai pengimbang media milik Umno hari ini.Kekalutan politik di Perak umpamanya cukup terasa apabila suatu kesefahaman jitu belum terbentuk dalam soal pemilihan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan nisbah bilangan exco kerajaan antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan PAS.

Terbaru nisbah 6:3:1 satu formula yang dikatakan agak sesuai dengan situasi politik negeri itu. Nisbah itu memperuntukkan DAP mempunyai enam kerusi Exco manakala KeADILan (tiga) dan PAS (satu) di samping jawatan menteri besar miliknya.

Ramai penulis blog (blogger), memberi saranan agar kepimpinan politik gabungan parti-parti pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Alternatif, menghormati keputusan rakyat mengamanahkan mereka sebagai kerajaan dengan berhati-hati ketika bertindak dalam saat genting sekarang.

Bagi saya, ia suatu memori tidak indah dipahat di landskap politik baru Malaysia apabila kesefahaman dalam soal perlantikan penting terbabit tidak diputuskan selepas perbincangan dan mesyuarat semasak-masaknya dibuat.

Tidak perlu tergesa-gesa mengadakan majlis mengangkat sumpah sekiranya banyak perkara penting belum selesai di peringkat mesyuarat kepimpinan tertinggi Barisan Alternatif.

Negara ini mempunyai sejarah tersendiri termasuk sejarah kesultanannya. Semua pihak perlu mengkaji semua perkara itu sebelum membuat sesuatu keputusan yang boleh mengeruhkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

Nisbah 6:3:1 suatu yang agak relevan di saat ini. Jika demikian yang sesuai semua pihak perlu menerimanya dengan hati terbuka demi kebaikan rakyat berbilang kaum di Perak.

Begitu juga dengan pemilihan menteri besar dan timbalan-timbalannya.

Yang penting ialah kepentingan rakyat Perak perlu dijaga sebaik-baiknya. Jangan keputusan memilih kepimpinan negeri yang tidak kosistent menimbulkan suatu pandangan lain di kalangan rakyat sehingga ia boleh dipergunakan Barisan Nasional (BN) untuk mengapi-ngapi rakyat supaya menolak Barisan Alternatif dalam pilihan raya umum akan datang.

Biarlah perkara seumpama ini tidak menjadi luka membarah di kalangan kepimpinan dan parti di bawah kelompok pembangkang.

Ini kerana perjuangan Barisan Alternatif ialah untuk memerangi segala perkara yag menyusahkan rakyat. Yang paling utama ialah memastikan rakyat hidup selesa tanpa rasuah, jenayah, penyelewengan kuasa, kronisme dan nipotisme.

Pembangunan yang dibuat dan dirancang perlu mengambil kira apakah manfaatnya kepada rakyat terutama golongan miskin di ceruk-ceruk kampung.

Pembangunan perlu diambil kira keperluannya kepada mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat.

Bahkan pembangunan hartanah yang dirancang perlulah dimulakan dengan merancang penempatan baru penduduk yang tanah mereka digunakan untuk tujuan tersebut sebelum memulakan projek pembangunan kerajaan bukan membiarkan mereka mencari tempat tinggal sendiri dengan pampasan tidak seberapa.

Inilah suatu kelemahan perancangan pembangunan ketara dibuat sebelum ini di banyak negeri termasuk Terengganu.

Adalah diharapkan krisis kepimpinan Barisan Alternatif Perak tidak berlarutan sehingga menyusahkan banyak pihak termasuk pihak istana.

Dipercayai keputusan memperuntukkan kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya sudah dibahagikan dengan sewajarnya dan diperbincangkan dengan sebaiknya. Jangan pula soal perlantikan kepimpinan negeri berlaku sebaliknya.

Semua aspek perlu diambil kira termasuk Undaang-undang Tubuh Negeri Perak. Soal keutamaan menjaga agama Islam yang penting maka kaum yang bukan beragama Islam perlulah akur dengan undang-undang berkenaan.

Aspek jumlah kerusi juga perlu diambil kira. Yang mustahak ialah tolak ansur antara parti dalam pakatan Barisan Alternatif akan membuahkan hasil yang baik khususnya untuk kebaikan rakyat negeri Perak. – mr

( Sumber Harakahdaily 15/03/08 ) 

Harakahdaily.
Thu | Mar 13, 08 | 5:53:00 pm MYT
KUALA KANGSAR, 13 Mac (Hrkh) – Majlis angkat sumpah Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri Perak yang baru terpaksa batal lagi hari ini apabila anggota Dewan Undangan Negeri dari Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pula tidak berpuashati hasil dari salah faham.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang dalam satu laporan akhbar online mengesahkan perkara ini dan majlis yang sepatutnya berlangsung jam 4 petang ini (13 Mac) terpaksa ditangguhkan.

KeADILan salah faham apabila menyangka mereka tidak mendapat sebarang kerusi dalam kerajaan Perak, padahal persetujuan yang dicapai adalah DAP akan mendapat 6 kerusi, KeADILan 3 dan PAS satu di samping MB.

Taburan ini adalah berdasarkan bilangan Adun masing-masing dalam kerajaan bersama itu iaitu DAP mempunyai 18 anggota, KeADILan 7 dan PAS 6.

“Persetujuan ini dicapai semalam antara DAP dan PAS selepas mereka dipanggil oleh Raja Muda Perak, namun tidak dipanggil KeADILan kerana ketika itu KeADILan tidak terlibat membantah,” kata Ahmad Awang.

Hari ini, Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali membuat kenyataan tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan negeri Perak itu.

Pagi tadi, rombongan tujuh Adun KeADILan di Perak menemui Penasihat Undang-undang dan seterusnya mengadap Raja Muda Perak menyatakan bantahan mereka.

Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua memaklumkan bantahan itu dibuat kerana KeADILan seolah-olah tidak ada sebarang kerusi dalam kerajaan Perak yang baru itu.

Namun beliau mengaku taburan 6:3:1 dalam Exco yang baru beliau ketahui itu adalah taburan yang sangat sesuai dan boleh diterima./wann

( Sumber Harakahdaily 14/03/08 )

Johari Jaafar
Fri | Mar 14, 08 | 10:07:45 am MYT
IPOH, 14 Mac (Hrkh) – Ketua Penerangan PAS Perak telah mengesahkan kesemua Adun daripada ketiga-tiga parti politik, DAP, PKR dan PAS telah mencapai kata sepakat untuk bersetuju dengan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak.Kata sepakat itu katanya, telah dicapai jam 10.00 malam tadi di Pejabat PAS Negeri Perak setelah penjelasan diberikan kepada Adun KeADILan yang mempertikaikan pencalonan Menteri Besar daripada PAS dan pembahagian kerusi Exco.

Persetujuan telah dicapai berhubung pembahagian kerusi di mana DAP mendapat 6, KeADILan 3 dan PAS 2.

Kesemua Adun terbabit telah menandatangani penyataan persetujuan untuk menerima Haji NIzar sebagai Menteri Besar yang baru.

Selepas kata sepakat dan penyataan persetujuan diambil dari kesemua Adun dari ketiga-tiga parti, wakil-wakil dari DAP, KeADILan dan PAS telah bergegas pergi ke Istana Kinta untuk menyerahkan penyataan persetujuan kepada pihak istana.

“Upacara angkat sumpah Menteri Besar ke-10 di Istana Kinta akan dibuat pada bila-bila masa dari sekarang,” ujar beliau.

( Sumber Harakahdaily 14/03/08 )

Mohd Sabri Said
Fri | Mar 14, 08 | 10:32:25 am MYT
PULAU PINANG, 14 Mac (Hrkh) – PAS Pulau Pinang menyokong penuh perlantikan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri, Timbalannya, Mohd Fairuz Khairudin sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dan Profesor Dr. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri ke-2.Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man berkata, PAS juga bersedia bekerjasama dengan kerajaan baru pimpinan DAP semata-mata mahukan pembangunan dan pembelaan terhadap masyarakat Islam tetap terpelihara.

Bagi PAS apa yang sesuai dilaksanakan oleh kepimpinan baru itu nanti biarlah memberi impak kebaikan kepada semua rakyat serta jauh berbeza daripada layanan Barisan Nasional (BN) selama ini.

“PAS ucap syabas kepada kepimpinan baru dan bertekad akan bekerjasama untuk menjayakan hasrat kerajaan untuk masa depan rakyat,” ujarnya ketika dihubungi. – mns

( Sumber Harakahdaily 14/03/08 )

Basiron Abdul Wahab
Fri | Mar 14, 08 | 4:03:10 pm MYT
BERA 14 March (Hrkh) – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, situasi sekarang seolah-olah mengulangi senario 1969 apabila Perikatan (kini Barisan Nasional) tewas di negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.Katanya, Umno cuba memainkan isu perkauman sempit yang digunakan dahulu sehingga PAS bersetuju menyertai kerajaan campuran dan akhirnya membentuk Barisan Nasional (BN).

“Stretegi sama mula dimain Umno kini, pemimpin mereka cuba mendekati PAS dengan memainan sentimen Melayu kononya demi survivasl bangsa, agama dan sebagainya.

“Jangan terkejut jika dihubungi oleh orang-orang Umno mengajak untuk bertemu dan berbincang atau mengajak bersatu di bawah Umno,” ujarnya ketika berucap pada majlis kesyukuran petugas BA kawasan Bera di Darul Ikhwan dekat sini.

Menurut Mazlan, pemimpin Unmo itulah yang suatu masa dahulu mensabotaj ahli PAS di kampung-kampung, menafikan hak untuk mendapatkan subsidi baja, hak untuk mendapatkan saham Felcra, tanah dan sebagainya, mereka itu mungkin akan menangis ketika bertemu bagi menunjukkan betapa perlunya PAS bersama Umno.

Itu semua kata, Mazlan adalah usaha terdesak Umno ketika berada dalam “kritikal” serta sedang mengerakkan usaha memujuk ahli-ahli bersatu di dalam Umno, sama seperti senario 1969 dahulu apabila Tun Abdul Razak menyediakan helikopter untuk mengambil Presiden PAS, Dato’ Asri Haji Muda untuk bertemunya.

Mazlan menegaskan, ahli PAS perlu tegas menolak pelawaan bersatu di bawah Umno. Ini kerana PAS mendapat mandat rakyat, mereka mengundi PAS mengapa pula perlu bersatu di dalam Umno, sepatutnya Umnolah yang menyertai PAS.

“Buat apa bersatu di bawah Umno yang bakal dilupuskan, sepatutnya orang Umnolah yang menyertai PAS, bersatu di dalam PAS,” tegasnya.

Katanya, perkara itu telah diputuskan oleh pimpinan PAS baru-baru ini, bahawa PAS tidak akan melayan pelawaan Umno.

Pengalaman (1969) membukti Umno hanya memerlukan PAS semasa parti mereka sedang ‘nazak’ apabila Umno kukuh, PAS ditendang keluar daripada BN atas alasan cuba mengembangkan pengaruhnya di Johor.

“Umno perlukan kawan semasa susah, apabila kuat mereka lupa kawan dan tendang PAS keluar dari BN pada tahun 1978,” katanya.

Difahamkan di kampung-kampung, pemimpin Umno merupakan hero, merekalah yang mensabotaj dan mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya menyahkan orang PAS daripada mendapat subsidi baja serta bantuan kerajaan lainnya.

Malah, imam-imam yang disyaki menyokong PAS turut dibuang malah tiada ahli PAS dicalonkan untuk menduduki Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan sebagainya.

Menurut Mazlan, Umno semakin tidak releven, parti itu dikuasai oleh pemimpin korup yang tamak, membolot kekayaan negara tanpa mempedulikan nasib rakyat.

Apa yang perlu PAS buat kini ialah memperkuatkan organisasi bagi menerima penghijrahan beramai-ramai ahli Umno ke dalam PAS tidak lama lagi.

“Senario ini akan berlaku tidak lama lagi dan PAS serta rakan –rakan BA mesti bersedia,” ujarnya.

Pada pilihan raya 8 Mac lalu, Mazlan bertanding kerusi Parlimen Bera. Beliau tewas kepada Dato’ Ismail Sabri dengan majoriti 3,821 undi.

Bagaimanapun beliau berjaya mengurangkan majoriti lebih 1000 undi berbanding pilihan raya 2004 lalu. – mns

( Sumber Harakahdaily 14/03/08 : www.harakahdaily.net )