Barisan Rakyat wajar dipopularkan ganti BA

March 15, 2008

Posted on Saturday, March 15 @ 12:03:10 EST by reformis
 

Maka istilah Barisan Rakyat sesuai digunakan semula. Ia perlu dijadikan istilah umum  bagi usaha barisan pembangkang menjadi kerajaan alternatif kepada BN. Barisan Rakyat mempunyai nilai-nilai yang berbeza daripada BN. Ia berorientasi rakyat dari segi perjuangan iklas untuk membezakannya dengan kerakusan kuasa elit yang selama ini diamalkan oleh BN.

Oleh Maulana Purnama

Ketika pemimpin-pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Rakyat (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) bertelagah dalam merebut jawatan menteri besar, timbalan menteri besar dan ahli exco kerajaan negeri, maka para ahli, aktivis, penyokong dan pengundi ketiga-tiga parti itu wajar tidak menghiraukan telatah buruk mereka itu.

Sebaliknya ahli, aktivis, penyokong dan pengundi ketiga-tiga parti itu mesti merapatkan barisan dan mengukuhkan Barisan rakyat demi mempertahankan kemenangan yang mereka capai pada 8 Mac lalu.

Perkara pertama ialah parti. Parti hanyalah alat tetapi ia amat penting dalam kerja berorganisasi.. Apabila disebut urutan nama parti itu, wajar disebut dengan rangkaian ini, iaitu PAS, DAP dan KeADILan. Dan bukannya DAP, PAS dan KeADILan atau KeADILan, DAP dan PAS.

Memang perkara ini tidak penting tetapi untuk keselarasan dan keselesaan berbicara, wajar dari carikan diseragamkan sebutan. Sebutlah PAS dahulu barulah DAP dan KeADILan. Bukannya PAS itu saja penting. Semua parti adalah penting dan setaraf dalam perjuangan ini. Memanglah bagi penyokong PAS, parti itu adalah lebih penting. Tetapi lain-lain ahli parti beranggapan yang serupa terhadap parti mereka.

Bolehlah masing-masing mendahului parti mereka. Umpamanya ahli PAS akan menyebut PAS dahulu baru diikuti dengan  KeADILan dan DAP. DAP diletakkan akhir kerana ia tidak dipimpin oleh orang Islam. Begitu juga dengan ahli DAP. Mereka boleh mendahului DAP, baru diikuti dengan KeADILan kerana PAS dianggap seteru ideologi mereka.

Sementara bagi ahli KeADILan, mereka mendahului KeADILan diikiuti dengan PAS dan kemudian DAP. Ini kerana KeADILan dan PAS adalah anggota Barisan Alternatif (BA) tetapi tidak DAP. DAP keluar daripada BA pada tahun 2003. Sungguhpun hakikatnya penyokong ketiga-tiga  parti tidak peduli dengan BA atau apa. Yang mereka tahu barisan pembangkang hanyalah satu.


Di peringkat kerajaan, kerjasama secara rasmi hanyalah BA. Justeru kerajaan BA terbentuk di Kelantan dan Kedah saja. Ini kerana PAS-KeADILan  mewujudkan BA. Di Kedah pada mulanya PAS mahu meletakkan wakil DAPnya sebagai exco tetapi dibatalkan kerana DAP di Pulau Pinang enggan meletakkan wakil PAS dalam exconya.

Alasan DAP. Kerajaan Pulau Pinang bukannya kerajaan BA. Ia hanya kerajaan DAP-KeADILan.


Kebingungan pemimpin ini terlihat di Selangor dan Perak. Di kedua-dua negeri itu, ia bukannya kerajaan BA. Ini kerana ia adalah kerajaan campuran BA dan DAP. Tetyapi kerajaan BA-DAP tidak sedap didengar.

Letaknya huruf I di antara B dan A, kemudiannya disambung dengan DAP, maka jadilah Biadap. Itulah istilah yang digunakan oleh Utusan Malaysia terhadap DAP apabila penasihatnya, Lim Kit Siang menghalang ahli dewan undangan negeri (ADUN) PAS Perak menghadiri majlis angkat sumpah apabila istana memilih wakil PAS sebagai Menteri Besar.

Padan muka kepada pembangkang apabila majlis itu ditangguh. Memalukan dan memilukan hati para penyokong.


Di mana penasihat-penasihat parti, Kit Siang dan Anwar Ibrahim? Bukannya hendak menyelesaikan masalah tetapi menambah masalah.

Sementara penasihat PAS, atau jawatannya Mursyidul Am, yang bermakna penunjuk umum, Nik Abdul Aziz Nik Mat membiarkan saja pergolakan itu berlaku.


Kerajaan Perak dan Selangor ialah kerajaan tiga parti pembangkang itu: PAS, KeADILan dan DAP. Untuk lebih tepat lagi kerajaan Perak perlu disebut sebagai kerajaan DAP-KeADILan-PAS kerana DAP menguasai kerusi terbanyak walaupun menteri besarnya datang dari PAS.

Sementara kerajaan Selangor ialah kerajaan KeADILan-DAP-PAS  kerana KeADILAN mempunyai ADUN paling ramai.


Tetapi sebenarnya itu semua mengarut. Hakikatnya yang menyokong mereka bukan saja penyokong tiga-tiga parti secara keseluruhan tetapi juga dua parti kecil yang menggunakan lambang KeADILan iaitu Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Demokratik Malaysia (MDP).

Walaupun PSM dan MDP adalah parti kecil, tetapi ia memiliki penyokongnya yang turut memberi sumbangan kepada kemenangan pembangkang keseluruhannya. PSM menang di dua tempat iaitu kawasan Parlimen Sungai Siput, Perak dan kawasan negeri Kota Damansara, Selangor.

Justeru ia turut menyumbang kepada kemenangan pembangkang di Selangor dan Perak. Walaupun ia tidak berdaftar, tetapi ia telah lama berfungsi. Maknanya, pada hakikatnya ia adalah parti politik. Ia merupakan parti politik de facto, seperti mana Anwar adaah pemimpin de facto PKR.

Maka seharusnya apabila disebut nama-nama parti pembangkang urutannya adalah demikian, PAS, KeADILan, DAP, PSM dan MDP. Bukanlah ia bermakna PAS lebih besar dan bulat daripada parti-parti lain, Tetapi untuk mengelak percekcokan dari kalangan parti, maka urutan itu harus mengikut siapa lebih tua.

PAS yang ditubuhkan pada tahun 1955 wajar berada di depan diikuti dengan KeADILan (Parti Rakyat Malaya ditubuhkan pada tahun 1955 dan Parti Keadilan Nasional pada tahun 1999 dengan percantuman berlaku pada 2006), diikuti DAP (ditubuhkan pada tahun 1965), diikuti PSM (1998) dan MDP (1999).

Tetapi barisan pembangkang ini memerlukan satu nama. Paling baik nama itu ialah Barisan Rakyat. Ia membezakan daripada istilah BA yang hanya merujuk kepada KeADILan-PAS.

Dalam poster yang diedarkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) pro-pembangkang, Barisan Rakyat diletakkan sebagai merangkumi PAS, KeADILan, DAP, PSM, MDP dan Pasok. MDP tidak diletakkan lambang. Pasok adalah sebuah parti Sabah . Tetapi poster itu mengelirukan.


Biarlah masa ini apabila disebut Barisan Rakyat, ia merujuk kepada lima parti di semenanjung iaitu PAS, KeADILan, DAP, PSM dan MDP.

Usaha dibuat untuk mencari parti pembangkang di Sarawak dan Sabah supaya boleh diletakkan dalam Barisan Rakyat. Syarat utama parti pembangkang Sarawak dan Sabah itu ialah kesediaan dan komitmen mereka menolak Barisan Nasional (BN).

Ini kerana terdapat parti pembangkang di Sabah dan Sarawak hanya bersedia untuk menjadi pembangkang di peringkat negeri dan tidak di pusat.


Istilah Barisan Rakyat mempunyai sejarah tersendiri. Pertama kali muncul ialah menjelang pilihan raya tahun 1978. Pada masa itu BN amat kuat dengan PAS juga menjadi antara parti utama dalam BN.

Melihat kejayaan BN, maka dicadangkan supaya satu barisan alternatif ditubuhkan bagi menandingi parti kerajaan itu. Secara utamanya, ia merupakan kerjasama antara DAP dan PRM yang pada masa itu dikenali sebagai Parti Sosialis Rakyat Malaysa (PSRM) 

Tetapi parti pembangkang lain juga turut serta. Pada masa itu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) juga berpecah ekoran hadirnya dalam BN. Pengasasnya Allahyarham Syed Hussein Al-Attas telah pun keluar. Begitu juga dengan Mendiang Tan Chee Khoon, seorang tokoh Gerakan. Beliau menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas).


Pada waktu yang sama, PSRM juga  berpecah. Pengasasanya Allahyarham Ahmad Boestamam enggan menerima kepimpinan Kassim Ahmad dan perkataan sosialis yang dimasukkan ke dalam nama parti PRM itu. Beliau dan penyokongnya menubuhkan Parti Marhaen yang dianggap sebagai pewaris PRM.

Bagaimanapun kemudian Parti Marhaen dibubarkan dan Ahmad Boestamam menyertai Pekemas untuk memperkuatkan elemen Melayu di dalamnya.

Maka istilah Barisan Rakyat sesuai digunakan semula. Ia perlu dijadikan istilah umum  bagi usaha barisan pembangkang menjadi kerajaan alternatif kepada BN. Barisan Rakyat mempunyai nilai-nilai yang berbeza daripada BN. Ia berorientasi rakyat dari segi perjuangan iklas untuk membezakannya dengan kerakusan kuasa elit yang selama ini diamalkan oleh BN.

Maka sepanjang sejarah Malaysia, Barisan Rakyat juga merujuk kepada kemenangan pembangkang dalam pilihan raya tahun 1990, 1999, 2008 dan pada masa-masa akan datang.

( Sumber Detikdaily 15/03/08 )

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: